RUANG CHAT BLOGER

BERITA TERKINI

RINGKAS.TEPAT.MUDAH DIFAHAMI

MyLinE: kaedah belajar BI dalam talian

SISTEM pengajian Bahasa Inggeris secara dalam talian yang dipelopori oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula semester satu 2006 lalu kini menjadi saluran penting bagi mahasiswa di semua 20 buah institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Program perisian yang direka khas oleh ahli akademik UTM itu antara usaha bagi membuka lebih ruang untuk pelajar IPTA menambah baik serta meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka dalam bahasa antarabangsa itu.

Sistem yang dinamakan program MyLine sebagai sumber pembelajaran Bahasa Inggeris dalam talian itu dilancarkan untuk kegunaan di semua IPTA itu dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kampus Antarabangsa UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengguna konsep belajar mengikut masa sendiri pada bila-bila masa tanpa had batasan walau dimana berada, ia merupakan satu-satunya program boleh diakses secara percuma oleh semua pelajar di institut pengajian tinggi.

Melalui program MyLine yang bermula secara menyeluruh di semua 20 IPTA kira-kira enam bulan lalu, pelajar bukan sahaja boleh meningkatkan kemahiran tatabahasa dan nahu sama ada dalam pertuturan, tetapi juga dalam penulisan, kata Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali.

"Malah mereka boleh menjadikan MyLine untuk menguji skil kemahiran Bahasa Inggeris masing- masing dengan mengikuti akademik membaca, perbualan, menulis dan forum untuk dinilai terus oleh guru-guru bertauliah khas dalam bidang tersebut secara dalam talian," katanya.


ISSA Abdirahman Hassan dikerumuni rakan-rakannya selepas majlis pelancaran MyLine Pembelajaran English secara Online di Kampus Antarabangsa UTM, baru-baru ini.

Para pelajar yang mengikuti program itu juga tambah beliau, akan diberi ganjaran mata untuk kredit dalam akademik sepanjang pengajian dan mereka akan sentiasa disemak selia oleh para pensyarah terlibat.

Untuk mengakses program MyLine secara dalam talian itu pula, para pelajar hanya perlu melewati Program Sokongan Bahasa Inggeris (ELSP) di laman web attp://elearning.utm.my pada bila-bila masa.

Sebarang pertanyaan dan maklumat atau timbul permasalahan untuk mengakses MyLine, para pelajar bolehlah menghubungi terus talian 07-5537888 atau melalui email:- elsp@utm.my atau datang terus ke Unit Bahasa Inggeris, CTL di Blik F54, Kampus Antarabangsa UTM di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Yang penting kata Dr. Mohd Zulkifli, pelajar boleh mengakses dan mengikut pembelajarannya mengikut masa terluang masing-masing tanpa perlu menghadiri kelas secara formal secara percuma.

Progam MyLine juga turut menyediakan bahan rujukan pengajian untuk para pelajar dalam beberapa bidang penting lain iaitu komunikasi, bisnes, sains dan teknologi, kejuruteraan serta pembangunan profesional yang kesemuanya dalam Bahasa Inggeris.

Jadi tidak ada sebab untuk graduan IPTA dianggap lemah dan tidak mahir menguasai Bahasa Inggeris kerana apa yang diusahakan oleh UTM itu antara langkah memastikan mereka benar-benar berkualiti dan mampu bersaing di pasaran pekerjaan global, tambah Mohamed Khalid pula.

Berucap melancarkan MyLine; sumber pembelajaran Bahasa Inggeris dalam talian beliau berkata, setiap program yang dibangunkan oleh sesebuah IPTA yang boleh memberi manfaat kepada semua pelajar hendaklah dikembang dan guna pakai secara bersama.

"Tidak perlulah setiap IPTA membangunkan program yang sama, sebaliknya usahakan sesuatu program yang boleh diguna secara bersama bersama bagi menjimatkan kos di samping meningkatkan kerjasama dan hubungan antara universiti awam," ujarnya.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi menyalurkan bantuan RM4.5 juta kepada UTM bagi menyokong dan melancarkan perlaksanaan MYLine untuk kegunaan para pelajar di semua 20 IPTA itu.